Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan terus komited bersama dengan Gerakan Mansuh PPSMI (Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu) dalam melaksanakan segala perencanaan yang telah ditetapkan demi memastikan matlamat untuk membubarkan dasar PPSMI tercapai. Menurut Naib Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bagi ini diberikan atas sebab keberkesanan sekretariat ini untuk menyatukan seluruh pertubuhan yang berpegang kepada prinsip membantah dasar PPSMI.
Dalam pada itu, menurut beliau, sekretariat yang dipimpin oleh Dato Dr Hasan Ahmad ini juga telah berikrar untuk melakukan tindakan yang paling radikal iaitu mengadakan demonstrasi satu ratus ribu rakyat sambil membawa keranda 152. "Maka, sebagai wadah gerakan pelajar yang membawa idealisme anak muda, adalah wajib bagi kami untuk berjuang bersama-sama di dalam sekretariat ini."
Sementara itu, dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan 152 bersama En Hasni Abas yang lepas, beberapa perwakilan PKPIM telah diberikan mandat untuk menggerakkan sekretariat ini bersama beberapa pertubuhan lain. Antaranya termasuk Saifullah Zulkifli (Setiausaha), Muhammad Faisal Abdul Aziz (Pen Setiausaha), Akmal Hisyam Abdul Rahim (Setiausaha Media), Abu Qassim Nor Azmi (Jawatankuasa) dan sebagainya. Situasi ini telah menurut Faisal telah memberikan harapan dan tanggungjawab yang besar kepada PKPIM untuk memberi komitmen yang penuh kepada sekretariat.
Menurut Faisal lagi, sebelum ini PKPIM telah menyerahkan petisyen bantahan satu ribu tandatangan kepada Timbalan Menteri Pelajaran, namun sehingga kini, sebarang respon masih belum diberikan. "Ekoran itu, PKPIM sudah bersedia untuk melakukan apa saja yang termampu termasuk untuk turun ke jalanan sambil mengangkat keranda bersama-sama sekretariat ini sebagai wadah terakhir bagi mendesak pihak pemerintah mendaulatakan kembali martabat Bahasa Melayu."
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menggesa seluruh pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama menyertai gerakan ini. "Ini penting bagi memastikan suatu gerakan mansuh PPSMi berjaya dilaksanakan secara besar-besaran."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan