Ahad, 11 Januari 2009

PKPIM Komited bersama Gerakan Mansuh PPSMI



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan terus komited bersama dengan Gerakan Mansuh PPSMI (Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu) dalam melaksanakan segala perencanaan yang telah ditetapkan demi memastikan matlamat untuk membubarkan dasar PPSMI tercapai. Menurut Naib Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bagi ini diberikan atas sebab keberkesanan sekretariat ini untuk menyatukan seluruh pertubuhan yang berpegang kepada prinsip membantah dasar PPSMI.

Dalam pada itu, menurut beliau, sekretariat yang dipimpin oleh Dato Dr Hasan Ahmad ini juga telah berikrar untuk melakukan tindakan yang paling radikal iaitu mengadakan demonstrasi satu ratus ribu rakyat sambil membawa keranda 152. "Maka, sebagai wadah gerakan pelajar yang membawa idealisme anak muda, adalah wajib bagi kami untuk berjuang bersama-sama di dalam sekretariat ini."

Sementara itu, dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan 152 bersama En Hasni Abas yang lepas, beberapa perwakilan PKPIM telah diberikan mandat untuk menggerakkan sekretariat ini bersama beberapa pertubuhan lain. Antaranya termasuk Saifullah Zulkifli (Setiausaha), Muhammad Faisal Abdul Aziz (Pen Setiausaha), Akmal Hisyam Abdul Rahim (Setiausaha Media), Abu Qassim Nor Azmi (Jawatankuasa) dan sebagainya. Situasi ini telah menurut Faisal telah memberikan harapan dan tanggungjawab yang besar kepada PKPIM untuk memberi komitmen yang penuh kepada sekretariat.

Menurut Faisal lagi, sebelum ini PKPIM telah menyerahkan petisyen bantahan satu ribu tandatangan kepada Timbalan Menteri Pelajaran, namun sehingga kini, sebarang respon masih belum diberikan. "Ekoran itu, PKPIM sudah bersedia untuk melakukan apa saja yang termampu termasuk untuk turun ke jalanan sambil mengangkat keranda bersama-sama sekretariat ini sebagai wadah terakhir bagi mendesak pihak pemerintah mendaulatakan kembali martabat Bahasa Melayu."

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menggesa seluruh pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama menyertai gerakan ini. "Ini penting bagi memastikan suatu gerakan mansuh PPSMi berjaya dilaksanakan secara besar-besaran."

Rabu, 7 Januari 2009

Road-show Himpunan 100 Ribu Negeri-negeri Akan Di susun




Kesempatan bertemu Ketua Kerajaan Negeri Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan Ketua Kerajaan Negeri Kedah Dato' Seri Azizan Razak dalam penamaan calon pilihanraya Kuala Terengganu di ambil untuk memohon kerjasama kedua-dua kerajaan negeri membantu menjayakan road-show Himpunan 100 ribu di negeri-negeri. Dato' Seri Nizar Jamaluddin yang juga pernah menyaman Kementerian Pendidikan berhubung Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2006 bakal menjadi ikon kepada Himpunan 100 Ribu ini. Kedua-dua Ketua Kerajaan ini telah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan Sekretariat menjayakan road-show di negeri masing-masing.



Suhaizan Kaiat
Timbalan Pengarah
Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu

Selasa, 6 Januari 2009

Pertemuan Wakil-wakil NGO dan GAPENA : Satu Kesinambungan Perjuangan Memartabatkan Bahasa Melayu!




Dengan nama Allah, izinkanlah hambamu meninta...

Sebentar tadi, tepat jam 8:30 malam,di rumah GAPENA, satu pertemuan telah dijalankan diantara pihak GAPENA dan wakil-wakil NGO bertujuan untuk membincangkan isu PPSMI yang hangat diperkatakan kini.


Saudara Faisal Aziz, dan Professor Emeritus Tan Sri Dato' (Dr) Ismail Hussein



Penulis dan saudara Faisal Aziz, turut hadir mewakili Gerakan Anti PPSMI (GAP)-PKPIM dalam permesyuaratan tersebut. Mesyuarat tersebut tidak lain tidak bukan membincangkan tindakan susulan yang bakal dilakukan secara bersama bagi mendesak pihak Kementerian Pelajaran supaya memansuhkan pembelajaran Sains dan matematik didalam Bahasa Inggeris.



Turut hadir dalam perjumpaan tersebut, nama-nama besar dalam perjuangan menegakkan kedaulatan Bahasa melayu seperti Dato' Zainal Abidin Borhan, Tan Sri Dato' (Dr) Ismail Hussein, Dato' Latip Bakar, Prof Dr Abdullah Hassan, dan turut disertai oleh lebih 15 wakil NGO daripada seluruh negara.


Dalam mesyuarat tersebut, rata-rata perwakilan NGO terbabit menyatakan sokongan penuh bagi menghapuskan PPSMI secara bermatian-matian demi menjamin kedaulatan Bahasa melayu, ini termasuklah mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak kementerian pendidikan diatas dasar pencabulan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Dato' Latip Bakar dan Prof Dr Abdullah Hassan

Perjumpaan dengan pemimpin tertinggi di pihak kerajaan turut diusulkan oleh pihak perwakilan, hal ini dilakukan bagi menggesa pihak pimpinan negara untuk menilai secara serius berkenaan dengan isu ini serta implikasinya terhadap masyarakat malaysia khususnya kaum Melayu di luar bandar.

Difahamkan, penghapusan PPSMI turut mendapat sokongan parti-parti politik dominan di Malaysia. Perlu ditegaskan, sokongan ini bukanlah harus dipandang sebagai bersifat politik, namun ia adalah satu tanggungjawab sosial yang harus dilunaskan dan diberi perhatian oleh semua pihak.

Seluruh perwakilan bersetuju untuk mengembeleng seluruh jentera dan kapasiti yang ada bagi melancarkan kempen Anti PPSMI secara besar-besaran, ini termasuklah dengan kempen menaikkan sepanduk dan poster diseluruh negara, serta rapat umum yang dijangka akan dilakukan dalam jangka masa terdekat ini,- sekiranya tiada tindakan yang difikirkan wajar diambil oleh pihak pemerintah.

Perwakilan turut bersetuju untuk memberi mandat kepada GAPENA untuk mengurus tadbir kempen ini.


Professor Emeritus Tan Sri Dato' (Dr) Ismail Hussein dan penulis


Kami di GAP-PKPIM menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan-cadangan yang diutarakan demi menjamin kedaulatan bahasa melayu daripada terus dicabuli oleh dasar-dasar yang tidak bertanggungjawab.

Penulis juga menyeru kepada sekalian NGO, khususnya gerakan-gerakan mahasiswa di Malaysia agar bersama-sama menyertai barisan kami dalam perjuangan menentang PPSMI secara habis-habisan. Harapnya segala perbedaan dari segi politik dan idea dapat diketepikan seketika demi menjamin kepentingan bahasa Melayu yang sedang dilanda bahaya globalisasi.



saudara faisal aziz (pengerusi GAP-PKPIM),Professor Emeritus Tan Sri Dato' (Dr) Ismail Hussein (Ketua 1 GAPENA), dan Penulis




Kembalikan Kedaulatan Bahasa Melayu!!




Hafidz Hakimi Haron (Ibn Qadir)

Ahli Jawatankuasa,
Gerakan Anti PPSMI (GAP) - PKPIM